Friday, December 7, 2018

JEMAAH HAJI, SEDIA FIZIKAL DAN MENTAL

Makkah: Rata-rata jemaah haji bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan ibadat luar bermula dengan wukuf di Arafah, Ahad ini.

Beberapa jemaah yang ditemui memberitahu mereka mengambil langkah penjagaan kesihatan serta mengurangkan pendedahan kepada risiko penyakit seperti batuk, demam dan selesema.

Pesara guru dari Kuala Terengganu, Abdul Rani Othman, 65, berkata, dia mengambil langkah berhati-hati berikutan mengalami batuk ketika ini.

“Di maktab banyak ceramah diadakan mengenai persiapan ibadat di Arafah, Mina dan Muzdalifah serta pelbagai nasihat diberikan Tabung Haji (TH) kepada jemaah.

“Saya juga sudah dua hari tidak ke masjid dan hanya bersolat di surau maktab. Saya dan isteri perlu mengurangkan pendedahan yang kerap kepada cuaca panas bagi mengelakkan berdepan masalah kesihatan sebelum hari wukuf,” katanya di Maktab 89 di Hotel Masat Al Badae’, di sini, semalam.

Abdul Rani yang ke Tanah Suci bersama isterinya, Ramlah Muda, 59, berkata, mereka teruja dan tidak sabar menunggu hari wukuf yang menjadi kemuncak ibadat haji.

Anggota polis marin berpangkalan di Batu Uban, Pulau Pinang, Sallis Ahmed, 47, berkata, dalam kursus diikuti, jemaah diberi gambaran mengenai suasana pada hari wukuf dan mereka perlu bersedia dengan situasi itu.

“Keadaan panas, sesak dan kemudahan yang terpaksa dikongsi ramai jemaah, jadi saya bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh keadaan demikian.

“Atas sebab itu, dalam sehari dua ini saya bersama isteri tidak keluar ke mana-mana bagi memastikan tahap kesihatan kami dalam keadaan baik,” katanya yang datang bersama isteri, Suzana Seman, 44.

Menurut Sallis, di Arafah nanti dia mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Jemaah, Mat Lodin Arshad, 73, dari Taiping, Perak berkata, seperti jemaah lain, dia tidak sabar menunggu hari wukuf dan berharap dapat melaluinya dengan lancar.

“Saya tiada masalah kesihatan serius cuma sakit pinggang dan berdoa ibadat ini dipermudahkan Allah,” katanya yang datang bersama isteri dan dua anak.

Katanya, dia memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan mengikut nasihat pihak perubatan seperti minum banyak air dan kurang mendedahkan diri kepada cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:19 AM
Safar Ahmad

No comments:

Post a Comment