Sakit lutut biasanya disebabkan faktor umur, masalah otot
dan tisu, kecederaan, radang, masalah kesihatan, arthritis dan berat badan
berlebihan. Ia boleh terjadi pada semua orang tidak kira peringkat umur, namun
kaum hawa lebih banyak menghadapi masalah ini.
Walaupun ia biasa terjadi kepada orang tua, namun kini orang
muda seawal 30-an pun sudah ada yang menderita. Ia akan menyukarkan kita
berjalan dan sekaligus melumpuhkan pergerakan kita serta menghalang kita
daripada melakukan kerja-kerja harian.
Jadi, apa yang boleh dilakukan untuk kurangkan sakit lutut
ini?
UNTUK KURANGKAN SAKIT LUTUT ANDA,
A) LAKUKAN 5 PERKARA INI:
1. BUAT SENAMAN KARDIO
Senaman seperti berjalan, berenang dan aerobik air
menguatkan otot-otot sekitar lutut dan meningkatkan fleksibiliti. Stretching
dan Tai Chi juga dapat membantu kurangkan sakit lutut dalam jangka masa
panjang.
2. BALUT LUTUT
Balut lutut dengan bandage yang sesuai. Ia dapat
mengurangkan sakit pada otot dan tisu sekitar lutut. Anda juga boleh
mendapatkannya pembalut lutut jenis sarung di farmasi. Jenis ini adalah yang
lebih mudah dipakai.
3. TUAM AIS
Jika lutut bengkak, letak ais dalam tuala dan letak pada
lutut untuk kurangkan bengkak dan sakit. Tuamkan buat beberapa ketika dan anda
akan merasa hasilnya sejurus selepas itu.
4. JAGA BERAT
Badan yang berat boleh memberi tekanan pada otot lutut. Sebaiknya,
kurangkan sedikit berat badan dengan diet yang sihat agar lutut boleh menampung
berat badan.
5. GUNA ALAT BANTUAN
Jika sukar berjalan, guna alat bantuan seperti tongkat untuk
mudahkan pergerakan. Terutamanya apabila anda berhasrat untuk berjalan jauh
seperti membeli-belah di pasaraya atau mengikuti rombongan beramai-ramai.
B) ELAKKAN 5 PERKARA INI:
1. DUDUK LAMA
Memang sakit lutut kalau kita banyak berjalan. Tetapi,
sebenarnya duduk terlalu lama boleh melemahkan otot terutamanya otot lutut.
Sesekali bangun dan berjalan.
2. TERJATUH
Lutut sakit menyebabkan cara anda berjalan tidak berapa
stabil, dan secara tak langsung berpotensi untuk jatuh. Pegang susur tangga
dengan kuat jika naik tangga.
3. SENAMAN BERIMPAK TINGGI
Bersenam memang digalakkan tapi jangan lakukan senaman
seperti melompat, berlari dan mencangkung kerana ia menambah lagi kesakitan
pada otot lutut. Lakukan senaman yang mudah dan perlahan.
4. PAKAI KASUT YANG TIDAK SESUAI
Elak pakai kasut yang boleh memberi tekanan pada kaki. Maka,
janganlah pilih kasut yang cantik dari luaran saja tanpa memberi perhatian
kepada bahagian tapaknya. Jika masih tidak selesa, letak cushion insoles dalam
kasut untuk mengurangkan stress pada lutut sewaktu berjalan. Aksesori ini boleh
dibeli di kedai kasut atau kedai peralatan aksesori. Gerakkan jari kaki dengan
kerap jika anda perlu berdiri dengan lama setiap hari
5. MELUTUT DALAM TEMPOH LAMA
Melutut terlalu lama boleh menyebabkan kecederaan pada tisu
otot. Jadi, lakukan kerja dengan selesa secara duduk atau berdiri dengan
berselang-seli.
JANGAN BIARKAN SAKIT
LUTUT BERPANJANGAN,
Memang tak boleh nak ke mana-mana kalau sudah sakit lutut
kerana ia menghadkan pergerakan. Jalan pun tidak stabil dan tidak selesa kerana
menahan sakit. Jadi, rujuk pada doktor agar yang sakit dapat disembuhkan.