Saturday, November 16, 2019

INFO : BERSENAM DAN MAKAN MAKANAN SIHAT DAPAT ELAKKAN SAKIT LUTUT

Masalah kegemukan dan kehidupan yang tidak aktif di kalangan golongan pertengahan umur dan warga tua merupakan punca utama yang menyebabkan meningkatnya sakit sendi lutut atau osteoartritis.

Justeru, golongan tersebut diingatkan supaya rajin bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat untuk mencegah penyakit ini.

Itulah antara pesan ahli fisioterapi kanan, Encik Ahmad Zaki Hairodin, daripada Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Encik Zaki merupakan antara penceramah di seminar kesihatan anjuran Berita Harian dengan kerjasama TTSH - Sihat Banyak Untungnya – yang diadakan di Auditorium Singapore Press Holdings (SPH) di Toa Payoh North, semalam. Penceramah-penceramah lain dalam seminar yang dihadiri oleh lebih 250 peserta ialah konsultan klinik gigi TTSH, Dr Chung Tze Onn; konsultan Jabatan Otorinolaringologi (Telinga, Hidung dan tekak) TTSH, Dr Ho Eu Chin; dan konsultan Jabatan Ortopedik TTSH, Penolong Profesor Adjung Hitendra K. Doshi.

CARA KUATKAN OTOT: 
Ahli fisioterapi kanan dari TTSH, Encik Ahmad Zaki (kiri), menunjukkan cara melakukan senaman khusus bagi menguatkan otot-otot kepada salah seorang peserta, Encik Suginin Mohd Taib, di Seminar Kesihatan Berita Harian, semalam.

Seminar itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada peserta yang hadir seawal lapan pagi. Encik Zaki berkongsi bahawa lebih ramai wanita mengalami sakit sendi lutut berbanding kaum lelaki.

“Ramai pesakit berjumpa doktor setelah lanjut sakitnya. Saya akan memberi nasihat dan maklumat bagaimana hendak bersenam untuk menguatkan otot-otot dan menurunkan berat badan,” ujar beliau.

Lantaran itu, Encik Zaki telah menunjukkan beberapa jenis senaman yang sesuai bagi mereka yang sudah mengalami penyakit ini dengan bantuan seorang sukarelawan, Encik Suginin Mohd Taib, juga salah seorang peserta seminar kesihatan ini.

Encik Suginin, 59 tahun, seorang pekerja penghantaran, tertarik dengan topik berkenaan sakit sendi lutut dalam seminar kesihatan ini.

“Isteri saya mengalami masalah sendi otot yang sakit. Menerusi penerangan Encik Zaki, saya ketahui cara-cara menguatkan otot dan mempertingkatkan kecergasan saya dan isteri.”

Sementara itu, Dr Doshi mengingatkan para peserta bahawa masalah sendi boleh menjejas kehidupan harian seseorang. Dari segi ortopedik, sendi artritis merosot dan kerapuhan tulang merupakan halangan terbesar dalam menjalankan kehidupan harian yang aktif.

Lantas, ia penting untuk mencegah dan merawati penyakit tersebut. Beliau menerangkan bahawa ada pelbagai rawatan pembedahan yang dapat membantu pesakit menjalankan hidup harian dengan lebih selesa.

Sebagai contoh, salah seorang pesakitnya, Encik Abdul Majid Moulabas, yang telah menjalani pembedahan penggantian sendi turut berkongsi manfaat menjalani rawatan itu.

Encik Abdul Majid, 65 tahun, seorang peniaga agensi pelancongan, berkata: “Saya telah menjalani pembedahan penggantian sendi 17 hari lalu setelah sendi rasa sakit sejak dua tahun lalu. Kalau dahulu, saya tidak suka ikut isteri saya pergi berjalan, sekarang saya boleh kembali aktif.”

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited Reproduced with permission.


No comments:

Post a Comment